Saturday, 29 April 2017

Misi Kesukarelawan K5 di Bogor Berjaya

SERDANG -  Ibarat kata pepatah lama ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’. Justeru, berpegang kepada azam dan komitmen yang tinggi, maka program Jelajah Merentas Samudera: Misi Kesukarelawan Antarabangsa (JMS 2017) dapat disempurnakan dengan jayanya.


Program berbentuk khidmat komuniti yang dilaksanakan selama 8 hari bermula dari 1-8 April 2017 ini melibatkan 28 orang mahasiswa/i dari Kelab Generasi Fifth, Sekretariat Kesukarelawan dan Jaringan Komuniti Kolej Kelima, UPM.

Prof. Dr. Sidek, Pengetua Kolej Kelima UPM di KLIA bersama peserta yang akan berangkat ke Bogor, Indonesia

JMS 2017 disempurnakan oleh Prof. Dr. Sidek Abd Aziz, Pengetua Kolej Kelima UPM

Program ini telah dilaksanakan di sekitar Selangor melibatkan institusi kebajikan (Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong) dan pendidikan (SMK Cheras Jaya, SMK Sultan Abdul Aziz Shah dan SMK Saujan Impian di Kajang, Selangor). Kemudian program ini diteruskan lagi di Rumah Anak Yatim Raksa Putra dan Kampoeng Wisata Cinangneng yang terletak di daerah Bogor, Jawa Barat, Indonesia.



Slot ‘Siswa Cakna’ di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong

Menurut Pengarah Program JMS 2017 Saudara Khairul Anwar Surbani, tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk mengukuhkan Kemahiran Insaniah (KI) para peserta bermula dari peringkat perancangan dan pelaksanaan program.

Sejajar dengan hasrat UPM agar segala aktiviti dan program yang dilaksanakan berkonsepkan kepada pemindahan ilmu (knowledge transfer) serta pembelajaran berasaskan perkhidmatan (service learning), maka ianya telah diterapkan dan diaplikasikan oleh peserta program ini melalui pengisian aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.










Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti ‘Dream To Reality’ (slot motivasi dan LDK bersama pelajar sekolah), ‘Siswa Cakna’ (slot khidmat bakti di institusi kebajikan warga emas) dan ‘Semarak Kasih Siswa’ (slot bersama golongan kurang bernasib baik) dan ‘Penghayatan Peninggalan Resam’ (slot menghayati budaya dan adat resam masyarakat desa Bogor, Indonesia).

PROGRAM JMS 2017: MAHASISWA K5 TIMBA PENGALAMAN DI BUMI GARUDA






Justeru, program ini dilihat sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna kepada peserta kerana selain dapat memperkukuhkan Kemahiran Insaniah (KI) seperti kemahiran komunikasi, kerja kumpulan, pemikiran kritis dan sebagainya, ianya secara tidak langsung dapat memberikan satu pengalaman baharu dan pendedahan kepada mahasiswa/i dengan masyarakat luar melalui perkongsian ilmu pengetahuan dan kemahiran serta penghayatan budaya dan adat resam masyarakat luar.

Sunday, 2 April 2017

K5 Anjur JMS2017 | Misi Kesukarelawanan Antarabangsa di Bogor Indonesia




SERDANG – Kolej Kelima menerusi Kelab Generasi Fifth, Sekretariat Kesukarelawanan & Jaringan Komuniti, Majlis Tertinggi Mahasiswa Sesi 2016/2017, Universiti Putra Malaysia menganjurkan program "Jelajah Merentas Samudera: Misi Kesukarelawanan Antarabangsa (JMS2017-MKA) ".

Menurut Saudara Kairul Anwar Surbani selaku Pengarah Program JMS2017-MKA “Program ini merupakan salah satu agenda amat bermakna untuk dijayakan selepas program Bertemu Di Bawah Bayu (BDBB) di Sabah pada tahun lepas.

Menurut beliau lagi, “Perlaksanaan program ini bertujuan mendidik mahasiswa sebagai duta kecil dalam usaha mempromosikan dan memperkenalkan UPM sebagai pusat kecemerlangan dalam melahirkan  mahasiswa yang unggul dan berdaya saing.

“Program ini juga merupakan salah satu elemen terpenting dalam mencapai Misi Nasional – ke arah membangunkan modal insan dengan meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi serta memupuk minda kelas pertama yang boleh dilihat menerusi Teras KeduaMisi Nasional 2006-2020”, tambah  Saudari Ernie/Nerisa Mohd Izham yang bertindak sebagai Pengarah Majlis Perasmian JMS2017-MKA yang berlangsung baru-baru ini.




Majlis pelancaran program antarabangsa telah disempurnakan oleh Prof Dr Sidek Ab Aziz, Pengetua Kolej Kelima UPM di majlis yang sederhana namun amat bermakna di Dewan Seri Harmoni yang dihadiri lebih dari 150 pelajar kolej turut memberi sumbngan kewangan dan sokongan moral yang padu kepada peserta program  JMS207 –MKA.

“Saya difahamkan bahawa seramai 28 orang peserta dari Kolej 5 UPM  terlibat menjayakan program di sekitar Selangor dan juga Bogor, Indonesia. Kolej 5 berasa begitu bangga atas inisiatif ini kerana pastinya program tersebut akan menjadi platform bagi pelajar- pelajar ini menjadi pemimpin masyarakat suatu hari nanti.

Para pelajar perlu mempunyai sikap lebih berdikari dan berusaha lebih gigih untuk memastikan mereka mampu menghadapi segala rintangan dan cabaran di masa hadapan.

Tambah Prof Sidek “Keperluan membangunkan modal insan ini dilihat amat penting dalam memperkasakan kepimpinan dan meningkatkan pembangunan diri pemimpin melalui aspek pengetahuan, kemahiran dan profesionalisme agar lebih bersedia dan berkeyakinan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Kolej 5  percaya bahawa program JMS2017-MKA dapat memperkukuhkan para pelajarnya aspek kemahiran insaniah,  berbakti kepada masyarakat luar dalam pencapaian akademik, peningkatan sahsiah dan membantu permasalahan pelajar-pelajar sekolah di samping mewujudkan suasana kemasyarakatan yang harmoni serta mendedahkan para pelajar tentang budaya dan adat resam negara Indonesia.

Selain itu, penganjuran program ini dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk bekerjasama secara profesional dalam sesebuah organisasi bagi mencapai objektif dan matlamat yang sama serta memupuk semangat kepimpinan dalam kalangan mahasiswa.

Felo K5 Rizal Mohd Hussain selaku Pegawai Pemantau Kelab Generasi turut berkongsi pendapat bahawa Program JMS2017-MKA  mampu  membentuk para pemipin muda menambahkan ilmu dan pengalaman serta sentiasa  berfikiran strategik.

“Para pemimpin muda sewajarnya sentiasa relevan dengan peredaranmasa dan perubahan persekitaran.  Dengan erti kata lain, para graduan IPT mesti memiliki kemahiran yang bersesuaian bagi menghadapi cabaran semasa.  Perlaksanaan aktiviti-aktiviti seperti JMS2017-MKA  dilihat sebagai salah satu mekanisma yang berkesan dalam melahirkan para pemimpin muda yang lebih terbuka mindanya di samping memberi pengalaman dalam membina keyakinan menghadapi kehidupan yang penuh dengan cabaran dan dugaan”, tambah En Rizal Hussain.

Prof Sidek turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua eksekutif yang bakal menjayakan program JMS2017-MKA yang bermula dari 1 – 8 Aprl 2017 di Selangor dan Bogor Indonesia. Beliau turut berharap agar semua peserta program dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam setiap bantuan dan sokongan sepanjang program ini dijalankan.



Friday, 23 December 2016

PUTRA VOLUNTEER  SEDIA BERBAKTI



Serdang (23-12-16) - Majlis pelancaran Putra Volunteer telah sempurnakan oleh Yang Hormat Prof. Dato' Dr. Mohd Shatar B. Sabran di Dewan Serbaguna KAA dalam suatu majlis yang sederhana namun meriah dengan semangat jatidiri yang tinggi.


Putra Volunteer merupakan usaha murni MPP UPM Sesi 2016/2017 dalam menyokong hasrat meningkatkan kesukarelawanan universiti seperti yg telah diumumkan oleh Prof. Datin Paduka Dr. Aini Idris, VC baru-baru ini.

PV adalah gabungan beberapa kelab/persatuan/mtm sukarelawan/pmf akan menjadi badan sukarelawan pelajar rasmi UPM yang  menyelaraskn aktiviti2 kesukarelawanan dari agensi atau kementerian di peringkat Universiti, Kebangsaan dan Antarabangsa dan disalur terus ke ahli2 PV.



Sekretariat Kesukarelawanan & Jaringan Komuniti Kolej Kelima telah berjaya mengumpul seramai 70 pelajar warga Kolej Kelima untuk mendaftar sebagai ahli PV UPM pada kali ini.

Teks oleh Balqis K5. Foto dari Shafiq dan rakan-rakan MTM K5.

Wednesday, 21 December 2016

Jalinan Harmoni K5 Hulur Bantuan




Serdang (22-12-16) - Atas dasar prihatin dan sikap tanggungjawab kepada rakan sebaya, Majlis Tindakan Mahasiswa (MTM) Kolej Kelima, telah berjaya melancarkan Tabung Jalinan Harmoni baru-baru ini. Penubuhan tabung JHK5 adalah untuk membantu dan meringankan sedikit beban kehidupan warga kolej di kampus hijau. Alhamdulillah sehingga kini penyumbang dana terdiri dari pelajar dan pensyarah serta staf di kampus ini.


Petang ini, saju majlis ringkas namun penuh bermakna telah diadakan di kolej Kelima. Menurut Cik Nurul Nadiah Binti Jasman, pelajar Bac. Sains dan Teknologi Makanan yang kini menyandang Pengerusi Sekretariat Kebajikan MTM Kolej Kelima, majlis ringkas ini adalah susulan dari kejayaan penubuhan tabung JHK5 dan sokongan hebat dari warga kolej kelima dan staf serta pensyarah UPM  dalam usaha mengumpul dana untuk tujuan kebajikan.


Dua pelajar K5 yang terpilih untuk menerima sumbangan JHK5 adalah Cik Vikneshwary a/Veran
berasal dari Sungai Besar Selangor yang kini di tahun kedua mengikuti Bachelor Perakaunan. Bapa beliau seorang pesara dan ibunya adalah insan pilihan OKU. Menurut Vikneshwary, pendapatan bulan keluarganya dengan dua -orang adik beradik adalah sekitar RM 600.00 sebulan.


Manakala penerima kedua adalah Cik Nur Izyan Syafiqah bt Mamat berasal dari Terengganu mengikuti kursus  Bac. Pendidikan Sains Rumah Tangga di Fakulti Pengajian Pendidikan mempunyai 5 adik beradik. Bapanya mengambil upah mengecat rumah untuk menyara ahli keluarganya.

Saturday, 22 October 2016

Adib – Graduan Kelas Pertama Minat AstroFizik

Kongsi Kegembiraan di Majlis Anugerah Graduan Cemerlang Fakulti Sains




SERDANG (211016) – Perjuangan selama empat tahun di kampus hijau menghasilkan satu kejayaan besar lagi bermakna buat Muhammad Khairul Adib Muhammad Yusof, 22, graduan Bacelor Sains (Kepujian) Major Fizik dengan Kelas Pertama.

Ketika ditemui di Majlis Anugerah Graduan Cemerlang Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia yang mana Adib turut menerima anugerah berprestij diberikan penghormatan mewakilti graduan Fakulti Sains membuat ucapan penghargaan di majlis tersebut, memulakan ucapan dengan serangkap pantun;

“Hasrat ke taman menyunting bunga,
Girang ditemani si rama-rama,
Hati melonjak senyum ke telinga,
Usaha lelah dirai bersama.”

Di majlis tersebut Adib menerima Hadiah Profesor Fakulti Sains dan Hadiah Kooperasi UPM yang masing-masing bernilai RM1,000 dan RM 500. Di samping itu juga beliau menerima Trofi bagi kategori graduan terbaik keseluruhan Jabatan Fizik dan juga graduan terbaik pengkhususan Fizik.


Adib bersama keluarga dan Dr Yap Fen D dari Jabatan Fizik yang turut bersama meraikan kejayaan graduan cemerlang Fakulti Sains UPM.

Beliau yang berasal dari Bukit Katil, Melaka mengakui bahawa “Sesungguhnya, tiada perjuangan yang tidak dipenuhi liku-liku serta pahit manisnya. Sudah tentu 5 atau 10 tahun dari sekarang, mungkin kita akan terkenangkan memori semasa menjalani program orientasi fakulti yang sejak dahulu lagi dikenali sebagai Kem Gerak Ilmu.

“Terkenangkan malam-malam yang hanya ditemani kafein dan lampu meja untuk menyiapkan tugasan atau ulangkaji hingga lewat malam. Mungkin juga nanti kita akan teringat persiapan dan latihan yang berlarutan hingga lewat pagi bagi menjayakan program atau karnival di peringkat fakulti, kolej dan juga universiti”, tambahnya.

Beliau yang merupakan anak bongsu dari tujuh adik beradik,  amat memahami aspirasi UPM, kesemua aktiviti  di universiti adalah untuk mencapai satu matlamat yang telah digariskan oleh Universiti dan beliau sentiasa melakukannya dengan semangat terbaik.

“Sesungguhnya, itulah yang diajarkan kepada kita di UPM dan Fakulti Sains ini, untuk menjadi yang terbaik dalam apa jua yang kita lakukan, baik dari aspek akademik mahupun sahsiah atau jati diri unggul”, ujarnya sembil tersenyum lebar menunjukkan tanda kepuasan.

Beliau sempat berkongsi tips bagaimana beliau belajar fizik di UPM, “Bagi saya, untuk menguasai fizik, asasnya perlu mantap an kukuh. Apa yang dimaksudkan asas ini adalah apa yang terangkum semasa belajar fizik peringkat SPM.

“Jadi jika ada pelajar fizik yang rasa sukar dalam mana mana subjek fizik semasa di peringkat ijazah, cuba selak semula silibus SPM. Selain itu, penguasaan matematik juga amat diperlukan bagi mengukuhkan pemahaman subjek Fizik kerana matematik merupakan bahasa kepada sains. Jadi, jika tidak kukuh bahasanya, manakan boleh kita berkomunikasi dan belajar fizik itu sendiri”, tambahnya.

Adib juga sempat berkongsi dua rangkap pantun, sebagai azimat kepada graduan-graduan Fakulti Sains UPM.

“Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara,
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan Negara.

“Merpati putih menghayun kepak,
Terbangnya jauh ke Pulau Jawa,
Berjuta batu hamba menapak,
Teguh abadi Fakulti Sains di jiwa.

Beliau yang bercita-cita menjadi Profesor dalam bidang Astrofizik suatu hari nanti berazam untuk mengembangkan bidang penyelidikan sains tulen terutamanya sains Astrofizik di Malaysia agar masyarakat memandangnya setara penting dengan bidang-bidang kritikal seperti kejuruteraan dan perubatan.

Beliau bercadang untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah Kedoktoran di University of Manchester, United Kingdom.

Teks oleh Adzrif Effendy / Foto dari sumber Facebook UPM.


Friday, 21 October 2016

Meraikan Kejayaan Graduan

KESEMPATAN  meraikan 7200 graduan UPM pada majlis konvokesyen ke 40.

RUANG digunakan sebaiknya bertemu rakan dan sahabat UPM. Almaklumlah walau bertugas di bawah payung yang sama, namun dek komitmen yang berbeza, agak terhad berjumpa.

Wednesday, 19 October 2016