Sunday, 22 April 2018

K16- majlis keunggulan mahasiswa 2018





Teks Ucapan Tetamu Kehormat
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera
1) Yang Berusaha, Prof. Madya Dr. Faieza Binti Abdul Aziz, Pengetua Kolej 16,
2) Yang Dihormati, Prof. Madya Dr. Anjas Asmara, Mantan Pengetua Kolej Enam Belas,
3) Saudara Muhammad Ikhmal Shaffiq Bin N. Sherap, Presiden Majlis Tertinggi MahasiswaKolej 16,
4) Ahmad Hazwan Bin Jamali, Pengarah Majlis Keunggulan Mahasiswa Kolej 16,
5) Cik Marni Binti Kassim, Felo Pemantau Majlis Keunggulan Mahasiswa Kolej 16,
6) Pegawai-pegawai kanan Universiti Putra Malaysia,
7) Pengetua-pengetua kolej kediaman UPM,
8) Pengurus-pengurus kolej kediaman UPM,
9) Barisan Felo dan Staf Kolej Enam Belas,
10) Barisan Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej-kolej Kediaman UPM,
11) Barisan Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Enam Belas,
12) tetamu-tetamu jemputan,
13) Barisan Ahli Jawatankuasa Pelaksana Majlis Keunggulan Mahasiswa (MAKSIS2017/2018),
14) yang diraikan para pelajar tahun akhir serta hadirin yang dihormati sekalian.
 
 
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan  dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan majlis kerana sudi mengundang saya ke Majlis Keunggulan Mahasiswa(Maksis) Kolej Enam Belas sesi 2017/2018. Justeru, dalam kesempatan ini marilah kita bersama-sama bersyukur kepada tuhan kerana dengan keizinan-Nya, kita diberi peluang untuk hadir ke  majlis yang sangat bermakna ini, khusus untuk meraikan pelajar-pelajar tahun akhir yang banyak menyumbangkan tenaga,masa dan wang demi mencapai misi dan visi hidup yang mereka mahukan. 
Para hadirin sekalian,
Anda masih muda. Perjalanan untuk memburu kecemerlangan  akademik masih jauh dan terbentang luas di hadapan. Justeru, usah persia kesempatan yang ada, kerana kata hukamak, “barangsiapa yang tidak mahu maju dalam mencari ilmu, maka jiwanya umpama lampu yang kehabisan minyak, makin lama makin malap dan kemudian menjadi gelap.”

Sementara Alvin Toffler, seorang penulis terkenal pernah menyatakan bahawa,

Bidang pendidikan pada abad ini sangat penting dan mesti berupaya melahirkan pelajar yang kreatif, mampu menyelesaikan masalah dan boleh berfikir secara kritis,” .
Demikianlah perihal kepentingan penguasaan ilmu.

Justeru, berbekalkan sijil graduasi yang anda bakal terima kelak, serta iringan doa dan harapan daripada ibu bapapensyarah dan rakan-rakan, saya yakin  anda akan menjadi insan yang cemerlang pada masa hadapan, sejajar dengan matlamat dan visi universiti dan aspirasi kerajaan untuk melahirkan modal insan yang mempunyai pemikiran kelas pertama demi kesejahteraan negara.

Hadirin sekalian,

Penguasaan ilmu- ilmu moden seperti  sains dan teknologi dalam kalangan rakyat akan dapat meningkat daya saing negara di peringkat global. Menyedari akan kepentingan penguasaan  ilmu-ilmu ini di peringkat ini, maka anda adalah antara golongan yang sangat diharapkan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang ini. Selain itu, aspek pembangunan sahsiah diri dan kecerdasan kerohanian ( sq ) mesti diberi keutamaan. Rasionalnya, pakej tiga dalam satu ini adalah bertujuan untuk menjadikan anda sebagai insan yang seimbang dan dapat memenuhi antara tuntutan dunia danakhirat agar anda dapat mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan  kecemerlangan di akhirat.

Di samping itu, aspek kemahiran insaniah ‘soft skill’ dan penghayatan nilai-nilai patriotisme yang disemai melalui pembelajaran mata pelajaran sejarah, ketrampilan komunikasi, kreativiti, inovasi, kepimpinan, pengurusan organisasi dan sebagainya perlu dikuasai ketika anda terlibat dalam aktiviti kokurikulum di universiti. Para bijak pandai ada membuattamsilan  iaitu,  belajar di waktu kecil bagai mengukir di atas batu, belajar sesudah dewasa bagai mengukir di atas air.Justeru, fikir-fikirkanlah.

Dalam pada itu, kerajaan tidak mahu rakyatnya  masih lagi memiliki minda kelas ketiga ketika kerajaan sudahpun membangunkan infrastruktur kelas pertama. Justeru, ketrampilan anak-anak dalam pelbagai disiplin ilmu adalah sangat diharapkan oleh kerajaan. Sesungguhnya tenaga kerja yang mahir dan kompeten merupakan aset terpenting bagi melestari dan menjayakan misi nasional ini.
Saya ingin menyentuh tentang isu yang agak hangat diperbincangkan sekarang, iaitu Industry Revolution 4.0. Mendepani cabaran Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat, pelajar di universiti mesti keluar daripada kebiasaan. Forum Ekonomi Dunia (WEF) menggariskan pentingnya penguasaan elemen 4C iaitu Critical Thinking & Problem Solving, Communication, Collaboration dan Creativity pada semua peringkat pengajian, termasuk di menara gading. Jika di sekolah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menjadi nadi, pelajar di universiti usahlah leka berdiam diri.
Kemahiran 4C mesti diasah setiap penjuru kehidupan, di kolej kediaman, dewan kuliah, merentasi aktiviti kesukarelawanan dan keusahawanan dan juga di padang sukan. Sebagai persiapan menghadapi cabaran Industri 4.0, pelajar di universiti perlu mempertimbangkan tindakan berikut, iaitu pertama menajamkan kemahiran penyelesaian masalah kompleks yang mana ianya diukur menerusi kedalaman analisis dan pengetahuan diperlukan, keterlibatan isu yang unik, keperluan mematuhi piawaian ditetapkan, impak penyelesaian terhadap pelbagai aspek seperti ekonomi, persekitaran, sosial, politik, etika, kesihatan dan kelestarian. Seterusnya memperkemaskan kemahiran komunikasi lisandan bertulismengukuhkan diri sebagai pemimpin dan ahli pasukan, kayakan diri dengan kepintaran emosi, memanfaatkan semua peluang , sentiasa kreatif dan berinovatif dalam mengemukakan cadangan seterusnya beranidalam mengambil risiko.
Industri 4.0 merupakan pemangkin dalam melahirkan lulusan berkualiti, berpengetahuan serta berkemahiran dalam memenuhi kehendak pasaran pekerjaan selepas menamatkan pengajian. Maka, semua pihak termasuk pelajar perlu menyiapkan diri dengan kemahiran terkini bagi memastikan ia mampu memenuhi kehendak pasaran baharu itu.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada para bakal graduan atas kejayaan anda yang bakal menamatkan pengajian ijazah tidak lama lagi. Akhir kata dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikanMajlis Keunggulan Mahasiswa Kolej 16 sesi 2017/2018.

Sekian, terima kasih.

Friday, 23 February 2018

K15 MyBrain Challenge | Uji Tahap Kecerdasan Minda Siswa

Image may contain: 5 people, including B.T. Hang Tuah Baharudin, people smiling, people sitting and table

PROGRAM MyBrain Challenge anjuran Sekretariat Akademik Kolej Lima Belas UPM yang berlangsung selama 3 hari mulai 23 Februari 2018, membawa tema “Akademik Pencetus Keunggulan Mahasiswa", bertujuan untuk memupuk minat belajar dalam kalangan mahasiswa dan menggalakkan mereka untuk berfikir secara kritis dan kreatif melalui penyertaan pertandingan  pelbagai permainan  menarik. Aktiviti tersebut selari dengan matlamat pembelajaran aktif dapat juga dilakukan di luar bilik kuliah.

Selari dengan usaha  memperkasakan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar, Program MyBrain Challenge juga dilaksanakan bagi memantapkan lagi penggunaan  Bahasa Melayu, memperluaskan kosa kata terutamanya kepada mahasiswa yang tidak mahir menggunakan Bahasa Melayu.

Menurut Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM sewaktu majlis perasmian, beliau berkata “Program MyBrain Challenge mampu menambah nilai kepada  pelajar dan memperkayakan sifat bertanggungjawab yang sedia ada demi untuk menjayakan sesuatu program dengan semangat kerjasama yang mantap.

Image may contain: 7 people, people smiling, crowd
“Sepanjang perancangan dan pelaksanaan program ini, sudah pasti seluruh Jawatankuasa Kerja banyak berkomunikasi dan saling bekerjasama untuk memastikan program dapat berjalan dengan teratur dan mengikut matlamat yang ditetapkan.

Katanya lagi “Saya percaya program ini dapat dijadikan satu platform untuk menilai tahap kecerdasan dan kepintasan pemikiran pelajar-pelajar Universiti Putra Malaysia. Mudah-mudahan dengan penglibatan para pelajar dalam program ini akan dapat menerapkan ilmu dan melatih pelajar agar berfikir ke arah untuk dapat berbakti kepada masyarakat.

“Lebih-lebih lagi apabija mereka kelak memegang teraju kepemimpinan dalam mana-mana organisasi di masa hadapan”, ujar beliau.

Antara aktiviti sepanjang program MyBrain Challenge termasuklah Spell-It-Right, Clever 15, dan juga termasuk pelbagai permainan yang dapat menguji minda dan kepintaran berfikir serta kepantasan menyelesaikan suatu masalah dalam sesi permainan interaktif.

Sementara itu, Prof Madya Dr M Aris M Mokhlas, Pengetua K15, juga menjelaskan “Program MyBrain Challenge diharapkan dapat menjana graduan yang beretika serta mempunyai rasa bertanggungjawab untuk menjayakan sesuatu aktiviti serta menggalakkan mahasiswa untuk berkomunikasi semasa menjalankan sesuatu aktiviti dan bekerjasama dalam mengatasi segala masalah yang dihadapi.

Image may contain: one or more people and text

“Saya amat percaya penglibatan para mahasiswa dapat membuktikan bahawa akademik mampu
mengubah pemikiran seseorang dan melahirkan pemimpin yang berwibawa.

“Saya memohon kerjasama semua pihak di Kolej 15 untuk terus aktif dan memainkan peranan masing-masing demi kecemerlangan mahasiswa Universiti Putra Malaysia”, jelasnya lagi.

Pastinya kecemerlangan kolej akan berkekalan dengan kelahiran mahasiswa yang mempunyai tahap intelek yang tinggi.

Antara tetamu yang hadir dalam majlis perasmian MyBrain Challange termasuklah Prof Dr Sidek Aziz, Pengerusi Jemaah Pengetua merangkap Pengetua Kolej 5 dan Kolej Tun Dr Ismail, serta Prof Madya Dr B.T. Hang Tuah Baharuddin, Pengetua Kolej 10 dan 11, Universiti Putra Malaysia. Beliau merupakan mantan pengetua Kolej 15.

Saturday, 27 January 2018

Anak-Anak Sidek di UPM

"Ramai nak jadi macam anak-anak Sidek. Lagenda Badminton Negara. Kisah perjuangan mereka di arena Sukan Badminton penuh dengan cabaran, debaran dan cerita kejayaan serta kejayaan yang tertunda.
"Mereka berjuang demi visi dan misi ayahanda mereka yang mahukan keluarga mereka mengharumkan negara menerusi perlawanan Piala berprestij All England dan Piala Uber.



"Sebahagian warga atlet UPM yang bakal bertanding di Kejohanan SUKIPT 2018, mendapat suntikan azimat, perangsang untuk meraih kejayaan demi kejayaan untuk UPM.
Begitulah harapan Pusat Sukan UPM menganjurkan Dialog Atlet UPM bersama Tokoh Badminton Negara, Datuk Misbun Sidek dan Datuk Seri Jailani Sidek, di Kolej 6 pada 26 Januari 2018.
Dialog yang cukup berkesan dan bermakna di moderasikan oleh En Nor Kamal Ahmd. Bersama hadir dalam program termasuklah Hj Mohd Nazri Noh, Puan Zaharah Abdullah, Wan Din aka Wan Zaharuddin Wan Abdullah,Fahmi Azar MistarMuhazam Mansor dll.


Image may contain: 3 people, people smiling, selfie and close-up
Image may contain: 3 people, people sitting
Image may contain: 5 people, people eating and people sitting
Image may contain: 6 people, people sitting, people eating and indoor
Image may contain: 1 person, flower
https://www.facebook.com/BHEPUPM/videos/1144008715733641/

Friday, 29 December 2017

2018 Staf Bersemangat dan Bermotivasi Tinggi - NC UPM


Tahun 2018 yang menjelang tiba pastinya bakal merobah kampus terutama corak kepimpinan, lansdskap pengurusan serta pentadbiran, dengan kesinambungan kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai pada tahun 2017,  yang menambah kepada legasi Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai sebuah Universiti Penyelidikan yang utama di Malaysia.


"UPM telah berjaya menempatkan kedudukan dalam kelompok 1% universiti terbaik dunia, dan kelompok lima universiti terbaik ASEAN. Setiap warga Universiti baik dalam kalangan staf, pelajar dan alumni yang sedia ada, atau pernah hadir di universiti ini telah memberikan sumbangan secara langsung dan tidak lansung kepada kejayaan ini.

"Saya bagi pihak Pengurusan Universiti mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas kerjasama, sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh semua pihak kepada UPM. Tidak lupa juga saya menjunjung kasih atas perkenan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj atas nasihat dan pedoman yang dititahkan untuk bersama-sama melonjakkan kecemerlangan universiti tercinta ini di persada antarabangsa", kata Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato' Dr Aini Ideris, menerusi satu perutusan rasmi.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, khususnya YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia yang telah memberikan sokongan padu kepada UPM sehingga ke hari ini.

Katanya lagi "Kedudukan UPM dalam QS World University Ranking pada tangga 229, dan dalam QS Asia University Ranking pada tangga 36 merupakan pencapaian terbaik UPM. Pencapaian ini sekaligus menempatkan UPM pada kedudukan universiti terbaik di Malaysia dengan mengambil kira sejarah penubuhannya.

"Kita turut mengungguli Anugerah Pengurusan Harta Intelek Universiti Awam, Universiti Awam Paling Berkeusahawanan, memperoleh taraf 6 bintang dalam SETARA, dan pelbagai kecemerlangan lain yang panjang senarainya untuk saya sebutkan di sini, di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa', jelasnya.

Rekod menunjukkan UPM  turut melahirkan juara dunia melalui atlet Olimpian UPM, Cheong Jun Hoong, dengan menjadi atlet Malaysia pertama memenangi emas dalam acara 10m platform terjun pada Kejohanan Dunia Akuatik 2017 di Budapest. Begitu juga dengan atlet sukan pelajar UPM yang telah menyumbangkan sebanyak tiga puluh tujuh (37) pingat iaitu lima belas (15) emas, sebelas (11) perak dan sebelas (11) pingat gangsa dalam sukan SEA 2017.

Pelbagai kemenangan turut dicapai oleh pelajar dalam pertandingan debat dan pidato, yang bukan sahaja menjadi kebanggaan universiti, tetapi secara tidak langsung menyumbang kepada aktiviti pembangunan pelajar secara holistik dan relevan dengan kemajuan negara.

Image result for aini ideris UPM

Di samping itu, UPM turut memperkasa kerjasama universiti-industri bagi menambah nilai dan meningkatkan keterlihatan rakan industri dalam agenda pendidikan tinggi negara. Banyak impak diperolehi daripada program CEO@Faculty melalui CEO yang dilantik, dan antaranya kejayaan UPM menghasilkan UPM-AirAsia Livery melalui Tan Sri Anthony Francis Fernandes. Tidak lupa juga kepada rakan industri yang berkejasama erat dalam inovasi pendidikan tinggi, seperti Holstein Milk Company, Sime Darby, Malayan Flour Mills Bhd, Open Learning Sdn. Bhd dan banyak lagi.

"Marilah kita sama-sama berdoa semoga kejayaan ini akan terus memperoleh keberkatan dan limpah rahmat yang berkekalan dari Yang Maha Esa. Tidak lupa juga kita hadiahkan al-fatihah buat rakan seperjuangan, sahabat handai dan keluarga UPM yang telah meninggalkan kita, dan mendoakan semoga segala khidmat bakti mereka diterima sebagai amal jariah yang berkekalan, InsyaAllah.

"Semoga tahun baru 2018 memberikan semangat dan motivasi untuk sama-sama kita seiring meningkatkan kecemerlangan, mencipta kejayaan demi kejayaan, buat universiti yang tercinta ini.

Pergi ke pekan mencari serai,
Serai dibeli dari tanjung;
2017 kini melabuh tirai,
Komitmen semua amat disanjung.

Selamat Tahun Baharu 2018.





Sunday, 3 December 2017

Budaya Warisan Melayu Terus Diperkasa

Image may contain: 7 people, people smiling, people standing

UPM Serdang - Program Temasya Budaya Warisan Melayu, anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar dengan kerjasama dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi pada 1-3 Disember 2017 telah berlangsung dengan jayanya.

Menurut Che Thaqif bin Che Mustafha, selaku Pengarah Projek Temasya Budaya Warisan Melayu "Program yang julung kalinya diadakan ini yang merupakan satu usaha dalam melahirkan pelajar yang berkualiti dan holistik seiring dengan matlamat Universiti Putra Malaysia dalam usaha melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

"Kini, warisan budaya tradisional menghadapi ancaman kepupusan. Budaya tradisional yang mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita semakin tidak diketahui.

"Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri", tambahnya lagi.

Prof.  Dr. Abdul Mua’ti @Zamri bin Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, ketika ditemui juga senada berkata "Umum mengetahui, budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat Malaysia misalnya, kebudayaan dan adat resam pelbagai kaum yang unik dan berwarna-warni.

"Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi dan pekerti masyarakat di Malaysia. Semua ciri-ciri ini amat indah jika kita mendalami ilmu warisan Melayu yang merupakan kebanggaan negara kita kepada dunia", jelasnya.

Justeru itu, cetusan ilham oleh kepimpinan di Universiti Putra Malaysia dengan diterajui oleh Pusat Kokorikulum dan Pembangunan Pelajar  telah melahirkan pelajar berketrampilan tinggi, kreatif serta mempunyai jati diri yang jitu dengan pelbagai aktiviti pembangunan sahsiah yang dijalankan.

Manakala Prof. Madya Dr. Paramasivam Muthusamy selaku Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar juga turut mengulas "Menyedari akan kepentingan budaya warisan ini, gabungan pelajar kokorikulum khususnya di bawah teras kebudayaan yang terlibat iaitu Pengurusan Pentas, Seni Tari Melayu, Muzik Kompang, Vokal Asas, Batik Canting,Cak Lempong, Gordang Sembilan dan Bakti Siswa bersepakat untuk menganjurkan Temasya Budaya Warisan Melayu.

"Temasya  ini merupakan salah satu pendekatan kepada pelajar tentang budaya warisan yang begitu unik. Sehubungan itu, saya berharap semoga melalui program ini ia dapat memupuk semangat patriotisma cinta akan budaya warisan dalam kalangan pelajar khususnya.

"Saya percaya dengan adanya program seumpama ini pelajar dapat bersama-sama dengan pihak pengurusan universiti untuk merealisasikan misi dan visi UPM dalam menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa khususnya bagi melahirkan graduan yang berilmu dan berdaya saing di peringkat antarabangsa", katanya.

Majlis perasmian penutupan progrem telah sempurnakan oleh Tan Sri Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Presiden Dunia Melayu Dunia Islam yang berpusat di Melaka. Turut hadir termasuklah Prof.  Dr. Abdul Mua’ti @Zamri bin Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,  Prof. Madya Dr. Paramasivam Muthusamy, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar serta Syeikh Dr Hj Md Radzi bin Hj Hanafi, Presiden Merangkap Guru Utama, Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia (Pewaris Mutlak Silat Cekak).

Progrem yang berlangsung selama tiga hari, juga mendapat penglibatan pelajar-pelajar pelajar antarabangsa yang terdiri dari negara Jordan, Arab Saudi, Syria, Bangladesh, Korea dan China. Pelajar-pelajar tersebut akan dinilai oleh fasilitator yang dilantik melalui penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti yang dirancang.

"Pencapaian UPM setakat ini, adalah sesuatu yang amat membanggakan. Pelbagai peningkatan dikecapi saban tahun. Semoga kedudukan ini meningkat pada tahun 2018 apatah lagi dengan adanya sokongan yang sebegini.

"Saya percaya dan optimis bahawa harapan ini akan menjadi kenyataan dengan kerjasama barisan pelajar yang hebat  yang merupakan tulang belakang yang sentiasa menyokong UPM dalam hasrat Universiti Putra Malaysia untuk menjadi universiti yang dikagumi di peringkat antarabangsa", jelas Prof Dr Sidek Ab Aziz, selaku Pengerusi Jemaah Pengetua, Kolej-Kolej kediaman yang juga turut bersama meraikan program tersebut.

Sesungguhnya, bagi menggalas amanah untuk mencapai matlamat wawasan negara untuk melahirkan modal insan berkualiti adalah satu tanggungjawab yang besar kerana kejayaan membina masa hadapan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bergantung kepada keupayaan kita dalam membina kecemerlangan generasi pewaris yang berkualiti dan berfungsi sebagai bakal pemimpin negara pada masa hadapan.