
UPM Serdang - Program Temasya Budaya Warisan Melayu, anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar dengan kerjasama dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi pada 1-3 Disember 2017 telah berlangsung dengan jayanya.
Menurut Che Thaqif bin Che Mustafha, selaku Pengarah Projek Temasya Budaya Warisan Melayu "Program yang julung kalinya diadakan ini yang merupakan satu usaha dalam melahirkan pelajar yang berkualiti dan holistik seiring dengan matlamat Universiti Putra Malaysia dalam usaha melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
"Kini, warisan budaya tradisional menghadapi ancaman kepupusan. Budaya tradisional yang mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita semakin tidak diketahui.
"Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri", tambahnya lagi.
Prof. Dr. Abdul Mua’ti @Zamri bin Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, ketika ditemui juga senada berkata "Umum mengetahui, budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat Malaysia misalnya, kebudayaan dan adat resam pelbagai kaum yang unik dan berwarna-warni.
"Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi dan pekerti masyarakat di Malaysia. Semua ciri-ciri ini amat indah jika kita mendalami ilmu warisan Melayu yang merupakan kebanggaan negara kita kepada dunia", jelasnya.
Justeru itu, cetusan ilham oleh kepimpinan di Universiti Putra Malaysia dengan diterajui oleh Pusat Kokorikulum dan Pembangunan Pelajar telah melahirkan pelajar berketrampilan tinggi, kreatif serta mempunyai jati diri yang jitu dengan pelbagai aktiviti pembangunan sahsiah yang dijalankan.
Manakala Prof. Madya Dr. Paramasivam Muthusamy selaku Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar juga turut mengulas "Menyedari akan kepentingan budaya warisan ini, gabungan pelajar kokorikulum khususnya di bawah teras kebudayaan yang terlibat iaitu Pengurusan Pentas, Seni Tari Melayu, Muzik Kompang, Vokal Asas, Batik Canting,Cak Lempong, Gordang Sembilan dan Bakti Siswa bersepakat untuk menganjurkan Temasya Budaya Warisan Melayu.
"Temasya ini merupakan salah satu pendekatan kepada pelajar tentang budaya warisan yang begitu unik. Sehubungan itu, saya berharap semoga melalui program ini ia dapat memupuk semangat patriotisma cinta akan budaya warisan dalam kalangan pelajar khususnya.
"Saya percaya dengan adanya program seumpama ini pelajar dapat bersama-sama dengan pihak pengurusan universiti untuk merealisasikan misi dan visi UPM dalam menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa khususnya bagi melahirkan graduan yang berilmu dan berdaya saing di peringkat antarabangsa", katanya.
Majlis perasmian penutupan progrem telah sempurnakan oleh Tan Sri Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Presiden Dunia Melayu Dunia Islam yang berpusat di Melaka. Turut hadir termasuklah Prof. Dr. Abdul Mua’ti @Zamri bin Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Paramasivam Muthusamy, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar serta Syeikh Dr Hj Md Radzi bin Hj Hanafi, Presiden Merangkap Guru Utama, Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia (Pewaris Mutlak Silat Cekak).
Progrem yang berlangsung selama tiga hari, juga mendapat penglibatan pelajar-pelajar pelajar antarabangsa yang terdiri dari negara Jordan, Arab Saudi, Syria, Bangladesh, Korea dan China. Pelajar-pelajar tersebut akan dinilai oleh fasilitator yang dilantik melalui penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti yang dirancang.
"Pencapaian UPM setakat ini, adalah sesuatu yang amat membanggakan. Pelbagai peningkatan dikecapi saban tahun. Semoga kedudukan ini meningkat pada tahun 2018 apatah lagi dengan adanya sokongan yang sebegini.
"Saya percaya dan optimis bahawa harapan ini akan menjadi kenyataan dengan kerjasama barisan pelajar yang hebat yang merupakan tulang belakang yang sentiasa menyokong UPM dalam hasrat Universiti Putra Malaysia untuk menjadi universiti yang dikagumi di peringkat antarabangsa", jelas Prof Dr Sidek Ab Aziz, selaku Pengerusi Jemaah Pengetua, Kolej-Kolej kediaman yang juga turut bersama meraikan program tersebut.
Sesungguhnya, bagi menggalas amanah untuk mencapai matlamat wawasan negara untuk melahirkan modal insan berkualiti adalah satu tanggungjawab yang besar kerana kejayaan membina masa hadapan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bergantung kepada keupayaan kita dalam membina kecemerlangan generasi pewaris yang berkualiti dan berfungsi sebagai bakal pemimpin negara pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment