
SERDANG (211016) – Perjuangan selama empat tahun di kampus hijau menghasilkan satu kejayaan besar lagi bermakna buat Muhammad Khairul Adib Muhammad Yusof, 22, graduan Bacelor Sains (Kepujian) Major Fizik dengan Kelas Pertama.
Ketika ditemui di Majlis Anugerah Graduan Cemerlang Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia yang mana Adib turut menerima anugerah berprestij diberikan penghormatan mewakilti graduan Fakulti Sains membuat ucapan penghargaan di majlis tersebut, memulakan ucapan dengan serangkap pantun;
“Hasrat ke taman menyunting bunga,
Girang ditemani si rama-rama,
Hati melonjak senyum ke telinga,
Usaha lelah dirai bersama.”
Di majlis tersebut Adib menerima Hadiah Profesor Fakulti Sains dan Hadiah Kooperasi UPM yang masing-masing bernilai RM1,000 dan RM 500. Di samping itu juga beliau menerima Trofi bagi kategori graduan terbaik keseluruhan Jabatan Fizik dan juga graduan terbaik pengkhususan Fizik.

Adib bersama keluarga dan Dr Yap Fen D dari Jabatan Fizik yang turut bersama meraikan kejayaan graduan cemerlang Fakulti Sains UPM.
Beliau yang berasal dari Bukit Katil, Melaka mengakui bahawa “Sesungguhnya, tiada perjuangan yang tidak dipenuhi liku-liku serta pahit manisnya. Sudah tentu 5 atau 10 tahun dari sekarang, mungkin kita akan terkenangkan memori semasa menjalani program orientasi fakulti yang sejak dahulu lagi dikenali sebagai Kem Gerak Ilmu.
“Terkenangkan malam-malam yang hanya ditemani kafein dan lampu meja untuk menyiapkan tugasan atau ulangkaji hingga lewat malam. Mungkin juga nanti kita akan teringat persiapan dan latihan yang berlarutan hingga lewat pagi bagi menjayakan program atau karnival di peringkat fakulti, kolej dan juga universiti”, tambahnya.
Beliau yang merupakan anak bongsu dari tujuh adik beradik, amat memahami aspirasi UPM, kesemua aktiviti di universiti adalah untuk mencapai satu matlamat yang telah digariskan oleh Universiti dan beliau sentiasa melakukannya dengan semangat terbaik.
“Sesungguhnya, itulah yang diajarkan kepada kita di UPM dan Fakulti Sains ini, untuk menjadi yang terbaik dalam apa jua yang kita lakukan, baik dari aspek akademik mahupun sahsiah atau jati diri unggul”, ujarnya sembil tersenyum lebar menunjukkan tanda kepuasan.
Beliau sempat berkongsi tips bagaimana beliau belajar fizik di UPM, “Bagi saya, untuk menguasai fizik, asasnya perlu mantap an kukuh. Apa yang dimaksudkan asas ini adalah apa yang terangkum semasa belajar fizik peringkat SPM.
“Jadi jika ada pelajar fizik yang rasa sukar dalam mana mana subjek fizik semasa di peringkat ijazah, cuba selak semula silibus SPM. Selain itu, penguasaan matematik juga amat diperlukan bagi mengukuhkan pemahaman subjek Fizik kerana matematik merupakan bahasa kepada sains. Jadi, jika tidak kukuh bahasanya, manakan boleh kita berkomunikasi dan belajar fizik itu sendiri”, tambahnya.
Adib juga sempat berkongsi dua rangkap pantun, sebagai azimat kepada graduan-graduan Fakulti Sains UPM.
“Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara,
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan Negara.
“Merpati putih menghayun kepak,
Terbangnya jauh ke Pulau Jawa,
Berjuta batu hamba menapak,
Teguh abadi Fakulti Sains di jiwa.
Beliau yang bercita-cita menjadi Profesor dalam bidang Astrofizik suatu hari nanti berazam untuk mengembangkan bidang penyelidikan sains tulen terutamanya sains Astrofizik di Malaysia agar masyarakat memandangnya setara penting dengan bidang-bidang kritikal seperti kejuruteraan dan perubatan.
Beliau bercadang untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah Kedoktoran di University of Manchester, United Kingdom.
Teks oleh Adzrif Effendy / Foto dari sumber Facebook UPM.